PEMBERITAHUAN

SILA KUNJUNGI LAMAN WEB KAMI UNTUK INFORMASI TERBARU TENTANG PROGRAM ILMU HIKMAH.

Khamis, 25 April 2013

Usaha dan Tawakal

Pernahkah anda berada dalam situasi kecemasan seperti gegaran kuat ketika berada dalam kapal terbang? Atau mengalami masalah brek ketika sedang memandu laju di lebuh raya? Atau dilambung ombak kuat ketika bercuti di atas kapal? Apakah perasaan anda ketika itu?

Kebiasaannya, apabila manusia berada dalam keadaan getir, dengan tidak semena-mena hatinya akan teringat kepada Tuhan-Nya. Ini menunjukkan secara fitrahnya manusia mempunyai perasaan bertuhan. Walaupun dia tidak beriman, tetapi dalam hati kecilnya tidak dapat menafikan akan adanya Tuhan sebagai tempat bergantung.

Ketika manusia berada dalam kecemasan dan kesusahan, mereka akan memohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh. Pun begitu, apabila manusia tersebut terselamat daripada keadaan getir tadi, mereka kembali melupakan Allah SWT dan peringatan-Nya.

Demikianlah yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
Dan apabila mereka diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok awan, mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepada-Nya kepercayaan mereka semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat, maka sebahagian sahaja di antara mereka bersikap adil. Dan tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang bersifat pemungkir janji, lagi sangat-sangat tidak mengenang budi. (Luqman: 32)
Ayat ini menggambarkan seolah-olah kebanyakan manusia hanya mengingati Allah SWT dan hanya bergantung kepada-Nya sewaktu berada dalam kesusahan. Sedangkan orang-orang yang beriman perlu meletakkan diri mereka dalam keadaan tawakal kepada Allah SWT pada setiap masa, sama ada senang atau susah.

Orang yang bertawakal kepada Allah SWT menyandarkan hatinya mutlak kepada Allah SWT. Tiadalah tempat pergantungan baginya melainkan Allah SWT. Pertolongan dan bantuan daripada makhluk hanyalah sebahagian daripada usahanya sahaja. Sama ada ia berjaya atau tidak hanya ditentukan oleh Allah SWT.

Secara ringkasnya, tawakal ialah menyerahkan hasil terhadap usaha yang dilakukan kepada Allah SWT. Ramai orang yang mengharapkan hasil yang berjaya walaupun tidak berusaha. Sedangkan Allah SWT tidak memberikan kejayaan melainkan mengikut kadar usaha yang telah dilakukan olehnya. Inilah sunnah dan ketentuan Allah SWT yang tidak akan berubah.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Yang demikian adalah menurut “Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah) yang berlaku kepada orang-orang yang telah lalu dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi “Sunnatullah" itu. (al-Ahzab: 62)
Walaupun seseorang itu tidak beriman kepada Allah SWT, tetapi dia berusaha keras maka dia akan berjaya. Akan tetapi, sekiranya seseorang itu selalu berdoa kepada Allah SWT dalam keadaan malas berusaha, maka dia tetap akan beroleh kegagalan. Sebaliknya, sekiranya seseorang itu berusaha dan berserah kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan doa dan munajat kepada-Nya, maka dia bukan sahaja akan beroleh kejayaan akan tetapi kejayaan itu akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Oleh itu, orang yang bertawakal kepada Allah SWT tidak akan cepat berputus ada dengan kegagalan. Ini adalah kerana dia memahami bahawa sebagaimana kejayaan, kegagalan juga adalah ketentuan Allah SWT. Dia tidak akan sekali-kali menyalahkan Allah SWT. Sebaliknya, dia akan melakukan muhasabah serta post mortem terhadap usaha yang dilakukan sebelum ini untuk mencari kelemahan. Yang pastinya, Allah SWT suka apabila setiap kali hamba-Nya gagal, Dia terus meningkatkan usahanya dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Kita perlu belajar daripada burung. Apabila keluar mencari makanan untuknya dan anak-anaknya, ia tidak mengetahui hasil yang akan diperoleh pada hari tersebut. Sekiranya ia gagal, ia tidak akan kecewa dan berputus asa untuk keluar lagi pada keesokan harinya.

Rasulullah SAW bersabda:
“Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-sebenar tawakal, maka Allah SWT memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Allah SWT memberikan rezeki kepada burung, pagi-pagi keluar sarang dalam keadaan lapar dan petang hari pulang ke sarang dalam keadaan kenyang." (riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Majah)
Oleh kerana itu, marilah sama-sama kita meningkatkan tawakal kepada Allah SWT kerana ia adalah kunci kejayaan yang sebenarnya. Sebagai muhasabah kepada kita bersama.

Cuba kita perhatikan generasi salafussoleh yang telah menerima tarbiah dan didikan Nabi SAW. Walaupun mereka lemah daripada segi bilangan dan kelengkapan persenjataan, namun mereka mempunyai jiwa yang besar serta semangat yang kental. Kekalahan dalam medan juang tidak pernah mematahkan semangat untuk terus berusaha dan bergantung kepada Allah SWT.

Inilah ciri-ciri mereka yang dipuji oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:
Dan beberapa banyak daripada Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengasihi orang yang sabar. (ali-Imran 146)
Penulis : Wan Jemizan Wan Deraman & Ahmad Termizi Mohamed Din
Sumber : Utusan Malaysia

Tags : usaha, tawakal

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ilmu Hikmah Adalah Ilmu Supranatural Islam Yang Sangat Ampuh dan Banyak Sekali Manfaatnya Untuk Kesuksesan Hidup, Meraih Kekayaan, Keselamatan dan Merupakan Ikhtiar Menyelesaikan Berbagai Masalah.